Mengikut kalendar, maghrib 05 Oktober 2013 Sabtu malam Ahad adalah bermula 01 Zulhijjah 1434 Hijrah.
Justeru, bagi semua yang terlibat dengan ibadah korban, disunnahkan agar tidak menggunting rambut dan memotong kukunya setelah masuk 1 Zulhijjah sehingga ke hari dia telah menyembelih haiwan korbannya. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan salah seorang dari kamu hendak berkorban, maka janganlah memotong sedikitpun dari rambut dan kukunya." (Hadith Riwayat Muslim)
Pada Isnin 14 Oktober adalah merupakan Hari Arafah, 9 zulhijjah. Disunatkan puasa kepada orang yang tidak melakukan ibadah haji. Fadhilatnya sangat besar sebagaimana dijelaskan menerusi hadith daripada Abi Qatadah r.a. ujurnya; Rasullullah s.a.w. telah ditanya oleh sahabat mengenai puasa hari 'Arafah, sabdanya bermaksud: "Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu dan tahun-tahun kemudiannya." (Riwayatkan oleh Muslim dan at-Tirmizi)
Takbir raya Aidil Adha bermula selepas Solat Subuh hari ke 9 Zulhijjah (14 Oktober) dan berakhir selepas Asar hari ke 13 Zulhijjah.
Hari Selasa 15 Oktober bersamaan 10 Zulhijjah adalah hari raya Eidul Adha.
Hadis dari Abdullah bin Umar, bahawa Nabi SAW bersabda: “Tidak ada amal yang dilakukan di hari yang lebih agung dan lebih dicintai Allah melebihi amal yang dilakukan di tanggal 1 – 10 Zulhijjah. Oleh kerana itu, perbanyaklah membaca tahlil, takbir, dan tahmid pada hari itu.” (HR. Ahmad & Sanadnya disahihkan Syaikh Ahmad Syakir)
Dianjurkan untuk membawa semua ahli keluarga termasuk isteri atau anak perempuan yang uzur/haid untuk mendengar khutbah hari raya. Selain itu, Baginda SAW memerintahkan para wanita yang sedang haid untuk turut serta menghadirkan diri di musolla hanya untuk menyaksikan upacara solat Hari Raya tersebut. Ummu ‘Athiyah radhiallahu’ anha telah berkata: Maksudnya: Kami telah diperintahkan (oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam) untuk keluar, maka kami memerintahkan wanita-wanita yang sedang haid, para gadis dan wanita-wanita pingitan untuk keluar. Ibnu ‘Aun berkata: “atau wanita-wanita pingitan,” dan wanita-wanita yang haid diperintahkan (Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam) agar menyaksikan jamaah kaum muslimin dan dakwah mereka serta menjauhi tempat solat. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-‘Iedaini, no: 981.
Semoga kita dapat mengambil iktibar, beramal dan menyampaikannya kepada saudara muslim yang lain.
Bacalah kalimah di bawah ini 3x semoga kita dirahmati oleh Allah s.w.t:
“Semoga Allah membalas daripada kami jasa Penghulu kami, Muhammad – semoga Allah mencucuri rahmat dan kesejahteraan ke atasnya – dengan sesuatu yang layak baginya.”