Kemesraan yang dipamerkan dua pelakon ini menggambarkan mereka seakan sudah lama akrab lantas lantas setiap ‘pose’ diberikan semuanya menjadi.
Hakikatnya, Nabila Huda, 28, dan Nazim Othman, 29, sudah lama berada dalam industri ini namun baru saja akrab selepas beberapa kali keluar bersama kebelakangan ini dan buat kali pertama bergandingan dalam sebuah siri.
Menjadi tunjang kepada siri Sangkar di TV9 yang cukup hebat sambutannya, keserasian mereka cukup dirasai dan Nabila akui meskipun kali pertama berpasangan dengan Nazim, dia terus dapat rentak.
Istimewanya, dalam ramai pelakon lelaki yang pernah digandingkan dengannya, dia mengakui sangat tertarik kepada pelakon tampan itu dan menyifatkannya sebagai lelaki Melayu sejati terakhir di matanya.
Istimewanya, dalam ramai pelakon lelaki yang pernah digandingkan dengannya, dia mengakui sangat tertarik kepada pelakon tampan itu dan menyifatkannya sebagai lelaki Melayu sejati terakhir di matanya.
“Sebelum ini, saya tidak pernah berlakon dengannya dan apa yang jelas tidak sukar untuk kami menjalin ‘chemistry’ memandangkan kami boleh berkongsi banyak perkara.
“Baik di set dan beberapa kali kami keluar lepak bersama, saya selesa berkawan dengannya. Saya rasa dia mempunyai ciri lelaki Melayu sejati terutama pada wajahnya,” katanya.
Sering terpalit dengan kontroversi mengenai kisah cinta yang sering putus di tengah jalan, Nabila enggan mengenang kisah lalu.
“Sudah-sudahlah dengan kisah cinta. Saya sudah bosan dikaitkan dengan cerita sedemikian dan selesa menjalani kehidupan solo di mana saya rasa lebih bebas dan tidak terseksa.
“Saya tidak mahu lagi membuang masa untuk perkara yang tidak membawa kebaikan kepada karier saya dan sekarang ini mahu berkerja keras dalam lakonan saja,” katanya yang pernah intim dengan pelakon Johan As’ari dan DJ Nas-T.
Sekilas mengamati pelakon jelita berkulit sawo matang ini, jelas pada riak wajahnya terserlah keletihan dan mengenali dirinya sebagai seorang yang tidak boleh duduk diam, Nabila mengakui sekarang dia jarang keluar.
Amat mengejutkan, katanya dia lebih bahagia jika berada di set penggambaran berbanding duduk di rumah tidak berbuat apa-apa, apatah lagi mahu keluar melepak, bukan lagi dirinya.
“Entah kenapa tapi saya rasa sangat puas dan tidak kisah pun berada di lokasi penggambaran sepanjang hari kebelakangan ini. Kalau duduk di rumah, rasa macam tak keruan sebab tak tahu apa nak buat.
“Sebab itulah, saya tidak kisah sibuk berlakon dan jadual saya penuh sampai Januari depan. Hampir 90 peratus masa saya dihabiskan di set,” katanya pemenang trofi Pelakon TV Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012 (ABPBH 2012) itu.
Nazim berpijak di bumi nyata
Kebelakangan ini, jejaka berasal dari Johor Bahru, Johor, Nazim nampaknya kian aktif di laman sosial termasuklah Instagram dan Twitter sedangkan dia pernah membuat kenyataan tidak mahu terlalu menonjol.
Hal itu sekali gus bercanggah dengan dirinya yang mahu kelihatan lebih eksklusif tapi sering saja memuat naik gambar memberitahu perkembangan serta lokasinya sehinggakan peminat seperti tahu setiap gerak-gerinya.
Apapun, menjawab mengenai persoalan itu, bagi Nazim sekarang dia perlu berpijak di bumi nyata dan tiada salahnya mahu mendekati peminat.
“Memang saya banyak muat naik foto dan tweet namun bukan bermaksud saya berkongsi segala-galanya kerana masih ada bahagian peribadi saya simpan. Lagipun, baguslah saya dapat membalas mesej peminat sebagai tanda saya menghargai mereka.
“Ikut logik pun, saya masih sedar saya bukannya artis antarabangsa dan perihal eksklusif diri itu tidak boleh disamakan dengan artis di luar negara. Saya percaya dengan cara begini tidak akan menjejaskan eksklusif diri saya,” katanya.
Berdebar namun cukup teruja, menurut Nazim dia tidak sabar menanti reaksi peminat terhadap single berentak rancak nyanyiannya yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
Menjadi seorang yang terlalu mementingkan kesempurnaan, dia bagaimanapun tidak mahu terburu-buru melancarkan single itu kerana mahu pastikan semuanya siap pada tahap kualiti seperti diinginkan.
“Sekarang saya mahu tunggu sampai puas hati dengan hasil akhir produk itu. Video muzik untuk single berkenaan sudah siap dan pada masa sama, saya sedang mencari lagu balada untuk pertaruhan kedua,” katanya.
Tidak bimbang dengan tanggapan skeptikal yang akan diterimanya daripada berlakon dan sekarang nak menyanyi pula, Nazim berharap masyarakat jangan mudah jatuh hukum.