Belum pun lama mana, jelitawan berusia 28 tahun ini sekali lagi dikaitkan dengan kontroversi terbaru yang menyentuh ruang peribadinya.
Kali ini, Hanez ‘diserang’ pula gara-gara gambar mesranya dipeluk seorang lelaki tersebar di Internet, baru-baru ini.
Untuk kontroversi itu, anak sulung dalam keluarga ini sudah tampil menyuarakan penjelasan yang mereka hanya teman rapat.
Untuk kontroversi itu, anak sulung dalam keluarga ini sudah tampil menyuarakan penjelasan yang mereka hanya teman rapat.
Gadis dari Subang Jaya Selangor ini berkata, hubungan dengan lelaki yang masih dirahsiakan identiti itu belum ke tahap serius seperti didakwa.
“Memang dia rapat dengan saya sekarang tapi tidak boleh umumkan dia adalah yang istimewa setakat ini.
“Dia hanya kawan rapat tapi belum ada dalam hati saya lagi. Benda (gosip) pun sudah tersebar, jadi itu saja yang boleh saya jawab buat masa ini,” katanya ketika hadir pada sesi fotografi bersama RAP mempromosikan drama rantaian Love You Mr Arrogant, baru-baru ini.
Mengulas lanjut Hanez mengakui, kesilapannya sebelum ini yang bersikap terbuka dalam berkongsi hal peribadi meninggalkan impak kurang baik.
“Sebelum ini saya tidak pernah kedekut berkongsi hal peribadi kepada khalayak dan kesannya orang sentiasa nak tahu apa saja kontroversi yang timbul.
“Kali ini saya tidak mahu bercerita banyak lagi. Biarlah orang tahu saya rapat dengan seseorang tapi saya tidak mahu orang tahu identitinya,” katanya mengakui gambar itu diambil ketika dia menjalani penggambaran program sukan di Pulau Tioman, Pahang, bulan lalu.
Pelakon berpengalaman selama sedekad dalam seni lakon ini berkata, keputusan itu diambil bertujuan mengimbangi antara kisah peribadi dan kerjaya untuk tatapan umum.
“Sudah tentu tidak selesa juga apabila diajukan pertanyaan mengenai kisah peribadi saja setiap masa. Saya akui benda sensasi boleh dijual tapi biarlah cerita kerjaya juga menonjol.
“Tidak sedap juga kalau orang beranggapan saya jenis artis yang sibuk jaja kisah peribadi berbanding kerja. Tapi kalau sikit-sikit (kontroversi) tidak jadi masalah untuk dikongsi,” katanya.
Bagi Hanez, sebagai selebriti dia perlu bijak mengatur strategi efektif dalam memasarkan dirinya.
“Saya memang percaya strategi penjenamaan diri sangat penting bagi memastikan kelangsungan kerjaya dan populariti.
“Ada waktu kontroversi akan datang dengan kerja yang kita buat. Tidak salah pun kalau kita hadapinya kerana setiap cerita yang timbul membantu penjenamaan.
“Asalkan kontroversi itu bukan kita buat sendiri, saya tidak kisah untuk jawab. Sekurang-kurangnya ada juga benda untuk diperkatakan ketika saya muncul dengan produk,” katanya.
Sambungnya, bersikap tertutup dan melarikan diri daripada kontroversi bukan kaedah baik untuk kelancaran kerjaya seseorang artis.
“Kalau setakat bercakap dan fokus pada kerja saja tentu tidak banyak benda dapat diperkatakan sedangkan perkara sensasi yang menarik perhatian ramai.
“Biarlah kedua-dua aspek ini sama naik. Campur-campur dengan kisah kerjaya tak jadi masalah pun. Yang penting perlu pandai kawal,” katanya.
Tak puas tapi syukur
Hanez mengakui kemunculan pelbagai cerita sensasi adalah sebahagian tuntutan yang perlu dihadapi seiring perkembangan positif kerjayanya.
Atas sebab itu, dia enggan merungut atau melenting dengan setiap perkara yang timbul.
“Sebenarnya pada tahap sekarang saya perlu menjadi lebih penyabar dan kuat menghadapi apa juga cabaran termasuk kontroversi.
“Gosip, kritikan atau kontroversi boleh menjatuhkan jika tidak pandai menguruskannya. Jadi saya perlu cekap memainkan peranan mengikut keadaan,” katanya.
Tambah Hanez, selepas sekian lama bertatih untuk berada pada tahap ini dia tidak mahu perkara remeh-temeh merencatkan kelancaran kerjaya.
“Tidak mudah sebenarnya apabila kita makin dikenali. Ramai orang suka lagi ramai iri hati dan dengki. Itu perkara normal.
“Saya belum puas dengan pencapaian semasa tapi saya amat bersyukur atas rezeki ini. Jadi saya harus jaga sebaik mungkin kerjaya agar berpanjangan. Paling penting, pencapaian ini bukan ruang untuk bangga diri dan berpuas hati tapi inilah kepercayaan orang untuk saya meningkatkan kualiti kerja,” katanya.
Mengenai drama Love You Mr Arrogant, Hanez berkata, tindakan membaca novel asal membantu penyampaian wataknya sebagai Sherry.
“Kalau dalam novel, watak Sherry kecil saja tapi dalam versi drama ia dikembangkan. Sekali lagi saya bawa watak antagonis tapi ia tidak rumit untuk dijayakan.
“Malah komitmen penggambaran juga tidak pernah berlanjutan ke lewat malam,” katanya.
Drama 26 episod arahan Eoon Shuhaini itu turut dibintangi Azlee Khairi, Zara Zya, Anzalna Nasir, Keith Foo, Mustapha Kamal, Fadilah Mansor, Alex Yanz dan Aishah Illias.
Ia disiarkan setiap Isnin hingga Khamis, jam 7 malam di TV3.