Akhirnya kontroversi yang melanda pasangan pelakon Aeril Zafrel dan Wawa Zainal terjawab sudah.
Kisah berhubung kontroversi mereka menjadi perbualan apabila akhbar sisipan mingguan Bipop berjaya membongkar perkahwinan Aeril dan Wawa menerusi penyiasatan penuh ala-ala Crime Scene Investigation (CSI).
Hari ini mereka tampil memberikan kenyataan mengakui sudah bernikah sebanyak dua kali.
Pertama kali, mereka bernikah pada 25 Februari tahun lalu tanpa menghebohkannya kepada pihak media.
Kemudiannya, buat kali kedua, mereka bernikah semula pada 4 Februari tahun ini tanpa diketahui apa sebab musababnya.
Pada ketika itu mereka hanya bernikah tanpa sebarang dokumen dan hanya bernikah mengikut hukum syarak iaitu berwalikan bapa Wawa dan dinikahkan oleh seorang imam yang di datangkan khas dari Sabah.
“Ya, saya dan Wawa sudah bernikah. Kami bernikah di Taman Datuk Harun, Petaling Jaya. Jadi, status anak saya yang dihebohkan selama ini sudah terjawab,” katanya memetik laporan mStar Online.
Sementara itu, menerusi portal Ohbulan, Aeril menjelaskan, “Kami bernikah hanya untuk menghalalkan perhubungan dan pada masa itu Wawa meminta izin daripada saya untuk tidak mendedahkan perkara tersebut kepada pihak pengurusan”.
“Namun begitu, setelah Wawa memberitahu saya yang dia mengandung pada bulan Januari 2013, kami mengambil keputusan untuk bernikah lagi sekali dengan dia pada Februari 2013 di Masjid Datuk Harun dan pada waktu itu kami mengikut undang-undang negara. Kami juga mengikuti kursus kahwin dan daftarkan perkahwinan tersebut mengikut jalan yang betul. Kami nikah kali kedua sebab saya nak anak saya lahir nanti dia ber-bin kan dengan nama saya dan bukannya ber-bin kan Abdullah.
“Mungkin orang beranggapan kami terlanjur tapi dari sisi agama sebenarnya anak itu memang sah di sisi agama dan Allah,” ulasnya lagi.
Hasil perkahwinan itu, mereka telah dikurniakan seorang cahaya mata lelaki yang diberi nama Ahmad Fakharuddin Attar yang telah dilahirkan pada 24 Ogos lalu.
Sebelum ini, Aeril bermati-matian menafikan dirinya berkahwin dengan Wawa dan kehilangan Wawa juga diragui oleh pihak syarikat pengurusannya, MIG yang ditunjanginya oleh Mejar David Teo.
Wawa dikatakan menghilangkan diri daripada dunia hiburan pada April lalu dan Aeril menyatakan ‘teman tapi mesranya’ itu sedang berubat penyakit misteri di kampung halaman aktres itu yang terletak di Lahad Datu, Sabah.
Mereka berdua dikatakan mula rapat selepas membintangi drama bersiri Klik dan sekali lagi digandingkan bersama menerusi filem 99 Kali Rindu terbitan MIG.
Nama anak mereka iaitu Ahmad Fakharuddin Attar juga tidak asing dalam diri Aeril apabila nama itu merupakan nama wataknya menerusi filem bergenre Islamik itu.
Sebelum ini, artis-artis di bawah syarikat pengurusan MIG dikatakan tidak boleh bercinta kerana terikat dengan kontrak serta syarat yang sudah termaktub dalam polisi syarikat tersebut.
Persoalannya kini, adakah Aeril dan Wawa merahsiakan perkahwinan mereka kerana ‘takut’ dengan syarat David Teo ataupun sememangnya mereka sudah ‘ehem ehem’ sebelum itu lantas menggunakan alasan dua kali bernikah untuk mengaburi mata masyarakat di luar sana?
Wallahualam.. Hanya Aeril dan Wawa yang mengetahui jawapannya – Mynewshub.my